Monday, April 2, 2012

Benarkan alam semulajadi untuk menguruskan perosak


Cara terbaik dan berkesan untuk mengawal perosak di sawah padi ialah dengan membenarkan ekosistem semulajadi menguruskannya.


Gambar 1: Tanaman berbunga ditanam di atas ban sawah di Viet Nam bagi menggalakkan perkembangan agen kawalan biologi
(kredit gambar: Ricehopper.net)

Di dalam usaha untuk mengawal serangan bena perang, satu mesej yang sangat mudah untuk difahami: biarkan sifat ekosistem semulajadi menguruskannya. Menggalakkan pembiakan dan perkembangan predator dan parasitoid seperti labah-labah, penyengat dan pepijat akan memberi peluang kepada sistem perlindungan semulajadi yang seimbang. Amalan ini memberi kelebihan terutama sekali jaminan keselamatan tanaman yang lebih baik daripada penggunaan racun perosak. Kini masanya telah tiba untuk pembuat dasar, pegawai pengembangan dan petani untuk mengubah minda dan melaksanakan kawalan perosak secara semulajadi melalui pendekatan agroekologi.

Serangan bena perang

Mesej ini muncul selepas beberapa siri serangan bena perang yang teruk di Asia. Pada tahun 2010, sebanyak 25,000 hektar sawah di Indonesia diserang bena perang dan virus bawaan bena belakang putih. Diantara tahun 2009 hingga 2011, Thailand mengalami kehilangan hasil yang teruk akibat bena perang. Lebih 3 juta hektar diserang yang mengakibatkan kehilangan hasil 1.1 juta metrik tan yang dianggarkan bernilai AS$275 juta. Tahun 2007, Viet Nam kehilangan 400,000 metrik tan padi yang menyebabkan negara tersebut mengharamkan eksport sekaligus memburukkan lagi krisis bekalan beras 2007-2008. Seluas 300,000 hektar kawasan tanaman padi di China diserang bena perang pada tahun 2009 dan lebih 6,500 hektar mengalami kemusnahan secara total. Serangan demi serangan ini mengakibatkan kehilangan dan kesusahan kepada petani di seluruh Asia.

Kehilangan ekosistem

Serangan merebak bena perang dikaitkan dengan kehilangan ekosistem atau fungsi kawalan secara biologi di sawah padi. Menurut pakar entemologi IRRI, Dr. K.L Heong, sawah padi tanpa disembur racun perosak mempunyai "askar" sendiri untuk melawan perosak. Sawah padi ialah satu tempat yang menyediakan ekosistem kepada diversiti yang kaya seperti labah-labah, penyengat, serangga akuatik dan serangga predator. Mereka ini merupakan musuh kepada perosak tanaman padi - yang sepatutnya merupakan rakan baik kita. Kawasan sawah yang mempunyai pengairan merupakan rumah bagi lebih 700 jenis organisma yang menjadi rakan kepada tanaman padi. Setiap satunya mengekalkan keseimbangan ekologi, bagi menjadikan landskap padi dalam keadaan yang mampan. "Biodiversiti ialah keseimbangan positif dan negatif," kata Dr. Heong. "Ia berkaitan dengan peranan, interaksi dan keseimbangan. Tanpa musuh semulajadi, bena perang akan mengambil alih ekosistem sawah dan mengakibatkan serangan merebak."

Penggunaan pestisid yang tidak efektif

Musuh semulajadi menjadikan populasi perosak berada di bawah paras bahaya. Tetapi apabila semburan racun mula dibuat, sistem ini akan menjadi tidak seimbang. Petani biasanya membuat kawalan perosak terlalu awal (kurang daripada 30 hari lepas tanam). Semburan pada peringkat awal ini dibuat bagi mengawal perosak pemakan daun seperti ulat lipat daun. Namun demikian, bahan kimia yang digunakan dalam semburan ini turut membunuh serangga yang bermanfaat seperti parasitoid dan labah-labah. Semburan awal yang dianggap untuk mengelak serangan perosak ini sebenarnya mendedahkan sawah padi kepada serangan bena perang dan meningkatkan risiko serangan sehingga 10 kali ganda.

Walaupun petani cuba untuk mengawal bena perang pada peringkat awal, semburan biasanya dibuat pada bahagian atas kanopi, tidak mengenai bahagian bawah tanaman. Nimfa biasanya berada di bawah atau disebalik litupan kanopi akan terselamat lebih-lebih lagi dengan penggunaan alatan menyembur yang tidak sesuai yang mengeluarkan titisan yang besar.

Pestisid: barangan pengguna atau barangan kawalan?

Kawalan secara semulajadi menggunakan kaedah yang mampan tidak akan berhasil jika petani masih meletakkan kepercayaan kepada racun perosak. Pengiklanan dan promosi yang meluas menyebabkan petani percaya mereka memerlukan racun untuk menyelesaikan masalah perosak. Penyalahgunaan terjadi apabila racun perosak dijual sebagai barangan pengguna - FMCG (fast moving consumer good) seperti ubat gigi, sabun dan kerepek kentang. Memburukkan keadaan, petani pula hanya mengharapkan penjual racun untuk nasihat. Disebabkan penjualan secara meluas seperti barangan pengguna, syarikat pengeluar racun menggunakan kaedah promosi secara emotional appeal (rayuan emosi) serta menyediakan beberapa tarikan seperti cabutan bertuah, hadiah, sampel percuma dan lain-lain.


Gambar 2: Pasaraya racun perosak. Racun perosak dijual sebagai barangan pengguna dan di Asia, satu bahan aktif dijual dalam pelbagai jenama atau nama dagangan.

Apa yang penting ialah penggunaan pestisid berasaskan pengetahuan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem sawah yang dapat mengelakkan serangan merebak. Penggunaan pestisid yang tidak betul (penggunaan berlebihan daripada dos dan penyalahgunaan) menyebabkan berlakunya serangan bena perang di Asia terutama di Indonesia, Thailand, Filipina dan China. Menguatkuasa peraturan yang lebih ketat terhadap pasaran dan penggunaan racun perosak dapat membantu petani menguruskan perosak dengan lebih efektif.

Langkah penting bagi mengharamkan pestisid

Pada awal tahun 2011, saintis Thai melaporkan populasi bena perang yang tinggi di Ayutthaya, Chai Nat, Suphan Buri, Ang Thong, Sing Buri dan Pathum Thani yang memusnahkan beribu-ribu hektar tanaman padi. Pada bulan Mac 2011, 11 wilayah diserang teruk oleh bena perang dengan kerosakan seluas 104,000 hektar. Sejumlah besar sawah di wilayah Pitsanuluk mengalami kerosakan yang teruk. Menjelang Jun 2011, Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Theera Wongsamut mengumumkan inisiatif sejumlah AS$12.8 juta untuk menghentikan penggunaan cypermethrin dan abamectin - dua pestisid yang didapati menggalakkan serangan bena perang dan meluaskan kempen kawalan perosak bersepadu di sawah padi. Usaha ini disokong oleh IRRI dan Thai Agro Business Association. Pengarah urusan IRRI, Robert Zeigler mengalu-alukan usaha Thailand di dalam menjalankan inisiatif ini kerana Thailand merupakan ketua global di dalam pengeluaran beras.

Tindakan

Pelan tindakan yang berkesan bagi mengawal bena perang ialah memulihkan biodiversiti di sawah padi dan membina semula ketahanan ekologikal. Secara spesifiknya, kejuruteraan ekologi perlu diadaptasi dengan memperkenalkan elemen seperti landskap dengan tumbuhan berbunga bagi menarik, membina dan mengembangkan populasi musuh semulajadi yang sihat. Penggunaan racun yang mempunyai tindakan meluas seperti cypermethrin, deltamethrin, abamectin, dan chlorpyrifos patut diharamkan kerana menjejaskan musuh-musuh semulajadi ini. Pensijilan dan latihan kepada penjual racun sangat penting bagi mengelakkan racun yang diharamkan, racun tiruan ataupun yang tidak diluluskan berada dalam tangan petani. Ini juga akan menggalakkan petani mengamalkan kawalan perosak secara bersepadu dan mengelakkan salahguna racun perosak.

1 comment:

  1. Well said. bagi saya kejuruteraan ekologi mempunyai prospek yang amat baik di dalam pengawalan perosak padi. Cuma yang mengusarkan saya adalah TOT terhadap petani dan attitude petani terhadap cara ini. Juga, aplikasi ini telah di lakukan di Malaysia secara small scale di kawasan utara.

    ReplyDelete

ShareThis