Monday, February 13, 2012

Sisa baki racun dalam tanah


Pertanian dibuat dengan skala besar bagi memenuhi permintaan lebih banyak makanan di seluruh dunia. Racun perosak disembur ke atas kawasan tanah ladang yang luas untuk mencegah serangga dan rumpai dari merosakkan tanaman, tetapi penyemburan racun perosak menjejaskan tanah-tanah ladang. Adalah sukar untuk mengeluarkan racun perosak yang telah disembur pada tumbuh-tumbuhan, dan air larian racun perosak melimpah ke dalam tanah, di mana ia diserap bersama-sama dengan nutrien. Tanah yang tercemar memberi kesan negatif kepada tumbuhan, haiwan dan manusia.

Racun perosak yang berterusan atau kekal aktif dalam tanah boleh mempunyai sama ada kesan yang merbahaya atau berfaedah. Racun perosak yang berterusan boleh mencederakan tanaman bukan sasaran. Racun perosak yang cepat melarut lesap dari tanah adalah efektif untuk tempoh masa yang singkat, tetapi boleh mencemarkan air bawah tanah. Racun perosak yang tidak menentu atau tidak stabil (volatile) boleh mencederakan bukan hanya tanaman, tetapi juga haiwan dan manusia. Racun perosak berterusan dan aktif dalam jangka masa panjang boleh mencederakan tanaman di kawasan tanaman dan kekal berkesan terhadap rumpai dan perosak bagi tempoh yang lebih lama. Walau bagaimanapun racun berkenaan berkemungkinan untuk melarut lesap dan mencemarkan air bawah tanah.

Faktor-faktor yang mempengaruhi racun untuk kekal dalam tanah

Komposisi tanah

Komposisi tanah boleh menjejaskan "kedegilan" sesuatu racun makhluk perosak. Molekul racun serangga dan zarah tanah dengan caj magnet bertentangan mengikat antara satu sama lain. Partikel tanah yang kaya dengan liat mempunyai luas permukaan yang lebih besar daripada tanah kesat. Menurut Pennsylvania State University, racun perosak mengikat dengan tanah liat dan tanah yang mengandungi sekurang-kurangnya 3 peratus bahan organik lebih mudah daripada dengan tanah berpasir. Racun perosak cepat melarut lesap dari tanah berpasir dan kesat, kerana air mudah mengangkut racun perosak melalui ruang di antara zarah tanah. Dalam tanah yang basah, molekul air mengikat dengan zarah tanah dan mengganggu pengambilan racun perosak.

Sifat kimia tanah

Menurut University of Illinois, sifat kimia tanah seperti paras pH, boleh menjejaskan racun perosak. Kesan yang merbahaya atau berfaedah bergantung kepada faktor-faktor seperti jenis racun perosak, perosak sasaran dan tanaman. Sebagai contoh, racun herba triazine mengikat dengan zarah tanah alkali pada kadar yang lebih rendah dan boleh diambil oleh rumpai sasarannya. Sebaliknya, racun herba imidazolinone terikat di dalam zarah tanah berasid dan boleh merosakkan tanaman bukan sasaran di kawasan tanaman. Melalui proses yang dipanggil hidrolisis, air boleh memecahkan racun perosak organofosfat dalam masa beberapa jam di dalam tanah alkali. Cahaya matahari yang kuat boleh menyebabkan racun perosak pada permukaan tanah terurai.

Mikroorganisma tanah

Mikroorganisma tanah memainkan peranan yang penting dalam melerai/mengurai racun perosak. Mikroorganisma seperti bakteria dan kulat adalah yang paling aktif dalam keadaan panas, tanah lembab, subur dengan tahap pH berhampiran 7.0. Organisma ini memakan racun perosak dan boleh membiak pantas dengan aplikasi berulang racun perosak yang sama. Penguraian boleh berlaku begitu cepat menyebabkan racun perosak menjadi tidak berkesan. Untuk menghalang aktiviti mikrob yang berlebihan dan kehilangan racun perosak, Universiti Missouri mengesyorkan aplikasi racun perosak pada kadar terendah berkesan mengikut arahan label, dan menggunakan beberapa jenis racun perosak secara berselang seli. Sebagai contoh, aplikasi berselang perencat fotosintesis atrazine, yang terurai perlahan-lahan, dengan pengatur pertumbuhan 2,4-D, yang terurai dengan cepat.

Ciri dan sifat racun

Keterlarutan dalam air, tekanan wap, struktur kimia dan sifat racun makhluk perosak boleh menjejaskan "kedudukan" sesuatu racun makhluk perosak dalam tanah. Sebagai contoh, racun perosak larut air mudah untuk melarut lesap dari tanah. Racun perosak dengan tekanan wap yang tinggi cepat bertukar menjadi gas dan menyejat dari tanah. Elakkan daripada menggunakan racun perosak yang tidak stabil, seperti thiocarbamates, semasa cuaca panas, kering dan berangin.

Kesimpulan

Amat penting untuk membaca label dan mengetahui kandungan serta cara tindakan racun perosak sebelum aplikasi. Penggunaan racun perosak secara sewenang-wenangnya mencemarkan alam sekitar dan membahayakan tanaman, haiwan dan manusia. Kawalan terhadap penggunaan racun perlu dititik beratkan agar kerosakan dan pencemaran tanah dapat diminimumkan.

No comments:

Post a Comment

ShareThis