Wednesday, March 30, 2011

Musuh semulajadi bena perang (Nilaparvata lugens)


Nilaparvata lugens yang dikenali sebagai bena perang (brown planthopper) merupakan perosak utama di sawah padi. Serangan merebak bena perang terjadi akibat daripada generasi yang resistan kepada racun serangga disamping penggunaan baja nitrogen yang banyak di dalam sawah. Satu kajian yang dijalankan di China dan Filipina, penggunaan baja nitrogen sehingga 200 kg/ha menyebabkan insiden serangan bena perang yang teruk terutama sekali di peringkat pengisian. Serangan bena perang menyebabkan pokok kelihatan kering dan "terbakar" dan mampu mengurangkan hasil padi sehingga 70%. Bena perang merupakan perosak utama padi di seluruh dunia dan kebanyakan kos pengawalan perosak memberi tumpuan kepada kawalan kimia bagi membendung serangan bena perang.

Secara semulajadi, ekologi di sawah mempunyai kepelbagaian diversiti dengan populasi serangga dan parasitoid yang banyak. Penggunaan racun kimia yang mempunyai spektrum luas membunuh kebanyakan musuh semulajadi yang sepatutnya bersama-sama petani membantu mengawal populasi bena perang. Di antara musuh semulajadi (predator dan parasitoid) bena perang yang perlu kita kenali ialah:

Pardosa pseudoannulata

Micraspis spp.

Cyrtorhinus lividipennis

Veliidae spp.

Mesoveliidae spp.

Ophionea nigrofasciata

Paederus fuscipes

Tetragnatha spp.

Araneus spp.

Agriocnemis pygmaea

Oligosita yasumatsui

Gonatocerus spp.

Menggunakan racun kimia dalam kadar paling minimum atau mengubah terus kepada kaedah organik mampu mengawal populasi bena perang dengan membantu populasi serangga berguna untuk berkembang. Kawalan secara biologi lebih berkesan di dalam memberi keseimbangan ekologi dan meningkatkan diversiti hidupan di dalam sawah.

Sunday, March 27, 2011

Biodiversiti dan perosak tanaman padi


Bagaimana petani hendak menghadapi perosak tanaman padi? Menyembur racun? Menggunakan varieti yang resistan? Atau bergantung kepada ekosistem kawalan biologi?

Menyembur racun merupakan pilihan utama petani, tetapi memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka dan alam sekitar. Ia juga menyebabkan serangan perosak menjadi lebih buruk kerana racun perosak juga membunuh musuh semulajadi seperti labah-labah. Ini menyebabkan petani terpaksa menyembur berulangkali dan akhirnya serangga perosak menjadi resistan kepada racun. Wabak serangan bena perang yang pernah berlaku di beberapa negara Asia sebelum ini merupakan kesan daripada penggunaan racun yang tinggi.

Menggunakan varieti yang resistan merupakan kaedah kawalan yang sering diperkatakan oleh penyelidik. Kedengaran seperti mudah dan kini terdapat pendekatan secara ubahsuaian genetik (GMO) untuk mencipta varieti yang resistan. Namun demikian, tidak semua orang bersetuju. Masalah berkaitan perosak tanaman padi ini ialah serangga perosak seperti bena perang hadir dalam jumlah yang besar dan bergantung sepenuhnya dengan padi di sepanjang rantaian hidup. Tekanan evolusi akan menyebabkan perubahan yang cepat kepada serangga untuk menyesuaikan diri bagi memecahkan kerintangan pada tanaman padi yang resistan itu.

Beberapa penyelidik berpendapat penggunaan varieti resistan ini hanyalah langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah yang telah terlalu lama membelenggu tanaman padi yang diakibatkan oleh penggunaan racun spektrum luas yang tinggi.

"Perosak akan berjaya ketika biodiversiti dalam keadaan berisiko, daripada menggunakan kejuruteraan genetik, mengapa kita tidak mengubah ekologi dengan meningkatkan biodiversiti?"

Kelebihan tanaman padi dalam iklim seperti di negara ini ialah kita tidak perlu untuk mengubah ekologi secara kompleks kerana ekologi tersebut telah wujud. Apa yang perlu dilakukan ialah menghindari racun jenis spektrum luas supaya parasitoid dan serangga berguna tidak terjejas.

Kawasan yang mempunyai sistem pengairan menyokong pelbagai kawalan biologi semulajadi yang bergantung kepada proses dan interaksi di dalam musim yang panjang di kalangan kepelbagaian spesis. Mengurangkan penggunaan racun perosak boleh membantu meningkatkan habitat heterogeniti.

Namun demikian, lebih mudah memperkatakan sesuatu daripada membuatnya. Walaupun terdapat pelbagai bukti jelas memperkasakan dan bergantung kepada servis ekosistem dilihat sebagai langkah yang betul, masyarakat petani masih tidak mahu untuk mengambil risiko jika tanaman mereka dirosakkan oleh serangga. Penyelesaian mudahnya ialah menyembur racun. Akibatnya, amalan konvensional menyembur racun akan berterusan dan wabak serangan serangga perosak juga akan meningkat.

Mustahil untuk memisahkan pertanian dan perosak. Namun begitu, jika kita lebih serius dengan kejuruteraan ekologi, kita boleh merubah ekologi supaya diversiti serangga berguna dapat ditingkatkan bagi langkah kawalan semulajadi yang lestari dan berkekalan.

Wednesday, March 23, 2011

Pemilihan racun yang mengakibatkan serangan bena perang


Racun serangga menyebabkan perkembangan sekunder dan kebangkitan populasi bena perang (BPH). Racun serangga mengganggu struktur kitaran makanan, merosakkan hubungan pemangsa-mangsa dan memihak kepada perkembangan populasi BPH yang menyebabkan serangan hopperburn. Racun serangga berspektrum luas yang mempunyai kesan yang kuat ke atas musuh semula jadi cenderung untuk membuat sawah padi lebih terdedah kepada hopperburn.

Kesan serangan BPH yang mengakibatkan hopperburn

Racun serangga Abamectin, Cypermethrin, Chlorpyrifos telah digunakan dalam semua peringkat tanaman walaupun mereka hanya disyorkan untuk mengawal ulat lipat daun. Ketiga-tiga jenis racun ini mewakili 62% penggunaan racun bagi kawalan BPH dan pemilihan racun serangga ini dibuat berdasarkan cadangan dari jurujual racun perosak. Racun serangga ini disembur sehingga 12 kali semusim dan lebih membimbangkan ialah semburan dibuat seawal usia pokok <30 hari.

Petani sering menyembur tanaman mereka pada peringkat awal menggunakan penyembur kabus (mist blower). Amalan itu menjejaskan fauna akuatik dan agen kawalan biologi.





Jadual: Kesan ekologi - Ketoksidan racun serangga terpilih terhadap beberapa organisma bukan sasaran



Ketoksidan yang tinggi terhadap lebah akan bermakna racun serangga mungkin menjadi toksik kepada hymenopteran, termasuk parasitoid. Labah-labah cenderung hidup dalam ekologi yang sama dengan lebah dan mungkin terjejas teruk akibat racun ini. Ketiga-tiga racun serangga ini diketahui mempunyai kesan yang menjejaskan elemen-elemen kawalan biologi dan merupakan punca serangan merebak (outbreak). Penggunaan yang kerap akan mengganggu perkhidmatan kawalan biologi dan meningkatkan kelemahan sawah padi.

Sunday, March 20, 2011

Padi SRI - Meningkatkan faktor produktiviti


Satu kompilasi keputusan daripada 11 kajian yang dibuat di 8 buah negara oleh kombinasi universiti, pusat-pusat penyelidikan pertanian antarabangsa, NGO, agensi kerajaan, sektor swasta dan sukarelawan menunjukkan kaedah SRI yang diamalkan sepenuhnya atau hanya separa dapat memberi keputusan berikut berbanding dengan amalan petani yang biasa:

52% hasil purata meningkat dalam tan/ha (range: 21 - 105%)
44% penurunan purata keperluan air (range: 24 - 60%)
25% penurunan purata kos pengeluaran per hektar (range: 2.2 - 56%)
128% peningkatan purata hasil bersih per hektar (range: 59 - 412%)
(Uphoff, 2007).

Disamping meningkatkan kecekapan tanah, SRI juga meningkatkan kecekapan air - dengan bilangan pokok dari satu anak benih (ketika keperluan air kini menjadi topik hangat dan masalah kekurangan air dijangka akan berlaku). SRI mampu meningkatkan keuntungan dengan meningkatkan hasil dan mengurangkan kos pengeluaran (dengan penggunaan bahan input kimia dielakkan sama sekali). Ketika dalam peringkat pembelajaran, SRI akan memerlukan banyak tenaga buruh dan perkara ini merupakan satu kekangan kepada amalan SRI untuk dikembangkan. Namun setelah petani mahir di dalam SRI, jumlah tenaga buruh dapat dikurangkan.

Selain daripada tenaga buruh, antara keperluan SRI yang menyebabkan kekangan amalan sistem ini termasuklah:
  • Pengawalan air yang cekap - supaya air dapat disalurkan dengan baik dan tetap. Jika air tidak dikawal dengan baik, kesan positif tidak dapat dicapai.
  • Penggunaan baja organik. Jika bahan organik seperti sisa tanaman dan tinja haiwan kurang, petani perlu menambah kos untuk mendapatkannya.
  • Motivasi dan kemahiran - kerana "keamatan" tanaman memerlukan pengetahuan dan pengurusan daripada petani, bukannya bergantung kepada bahan input yang dibeli.
  • Lebih banyak kawalan perosak perlu dibuat memandangkan amalan SRI mengurangkan penggunaan racun terutama sekali pokok padi SRI mempunyai anak pokok dan kanopi yang besar.
Daripada perspektif SRI, tanaman padi dilihat sebagai organisma yang mempunyai keupayaan dan strategi untuk tumbuh dengan "kerjasama" diversiti populasi organisma dalam tanah. Kedua-dua tanaman dan biota tanah saling melengkapi antara satu sama lain di dalam bentuk hubungan simbiotik. perspektif ini sangat berbeza dengan Revolusi Hijau dimana tanaman dilihat sebagai mesin/kilang biologi yang direka dan dibentuk untuk menyediakan keperluan manusia, diberikan input dari bahan luar berbanding sifat semulajadi tanaman mendapatkan makanan dari proses endogenous sistem tanah.

Pencapaian SRI agak berubah-ubah kerana proses biologikal yang dinamik dan interaktif lebih daripada tanaman yang mempunyai potensi genetik yang terhad dan diberi input. Namun dengan data yang diperolehi dari pelbagai kajian, purata pengeluaran SRI lebih tinggi, melebihi tanaman yang bergantung kepada input. Keputusan juga menunjukkan margin yang besar dan memberi banyak peluang kepada peningkatan produktiviti kepada semua faktor pengeluaran, bukan sahaja tanah.

Artikel ini tidak akan menerangkan sebab berkaitan keputusan tersebut dengan panjang lebar. Secara ringkas, produktiviti yang dicapai dengan amalan SRI disebabkan oleh (1) SRI menggalakkan pertumbuhan sistem akar yang besar dan akar tersebut tidak "lemas" di dalam air di dalam tanah yang dibanjiri air (hypoxic soil). (2) Keadaan tanah yang aerobik dengan kehadiran bahan organik yang banyak di dalam tanah bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan dan keupayaan akar, malah meningkatkan diversiti, bilangan dan aktiviti organisma dalam tanah yang akan membekalkan nutrien secara semulajadi dan perlindungan kepada tanaman. SRI membawa kembali proses simbiotik tanaman dengan sistem tanah secara semulajadi yang telah terbentuk sejak 400 juta tahun yang lampau. (3) Dengan sistem akar yang baik dan peningkatan aktiviti biologi tanah, akar dapat menyerap nutrien seperti N, P dan K serta mikro nutrien dengan lebih berkesan menjadikan baja tidak organik tidak diperlukan. (4) Sistem ini juga mengurangkan penggunaan racun sekaligus meningkatkan populasi dan diversiti musuh semulajadi dan parasitoid kepada perosak tanaman. Amalan ini akan membawa kepada satu lagi bentuk perhubungan tanaman dengan ekologi, tropobiosis.

Namun demikian, amalan SRI tidak seharusnya dilihat cuba mengubah amalan konvensional kepada 100% organik. Penggunaan input kimia masih dibolehkan dalam keadaan terkawal dan paling minimum. Terdapat juga versi SRI yang mengamalkan pertanian padi organik sepenuhnya yang membawa logik sistem ini kepada satu tahap yang lebih tinggi. Penggunaan bahan organik dilihat mempunyai masa depan yang cerah ke arah kesihatan dan kelestarian alam semulajadi.

Tuesday, March 15, 2011

Membina Parit Tengah Sawah


Kerja-kerja membina parit dalam sawah (parit tengah)

Sistem saliran dalam petak sawah sangat penting di dalam aspek pengurusan air dalam petak sawah. Pembinaan tepi batas dan parit tengah boleh meningkatkan kecekapan pengurusan air di dalam meningkatkan hasil padi.

Parit tengah dibuat di bahagian tengah lot sawah dengan berukuran 2 kaki lebar atas x 1 kaki lebar bawah x 1 kaki dalam. Bagi parit tengah pula, parit hendaklah lurus dan tanah buangan dilonggokkan sama tinggi di kiri dan kanan parit tersebut.
Kedudukan parit tengah sawah

Keratan rentas parit tengah sawah


Parit tengah sawah yang baru selesai dikorek

Saturday, March 12, 2011

Merata Sawah (bahagian 4)



Keadaan sawah selepas perataan tanah dilakukan dalam keadaan kering


Air dimasukkan ke dalam petak sawah sebelum membuat perataan dan bajak basah

6. Setelah selesai merata sawah dalam keadaan kering (menggunakan bucket leveller > box leveller > rotary cultivator), sawah akan diratakan buat kali keempat dalam keadaan basah. Air akan dimasukkan ke dalam petak sawah bagi menjadikan tanah tepu air dan traktor dengan kapasiti 70 hingga 80 HP akan digunakan bersama implemen niplo harrow untuk membuat perataan terakhir.



Traktor 4 roda bersama implemen niplo harrow untuk bajak basah dan merata sawah


Merata sawah basah menggunakan jentera dua roda

Tuesday, March 8, 2011

Merata Sawah (bahagian 3)


Spesifikasi kerja merata sawah

1. Sebelum memulakan kerja, kontraktor diminta merujuk kepada pelan tata-letak plot sawah di pelan yang diberikan bersama arahan kerja. Satu pasukan pembanci hendaklah diwujudkan untuk membuat kerja-kerja bancian mengukur paras tanah dengan menggunakan peralatan laser beam.

Membaci kerataan sawah

2. Penggunaan traktor yang sesuai iaitu minimum 60 kuasa kuda dengan implement yang sesuai. Semua kerja-kerja perataan tanah seboleh-bolehnya dilaksanakan di atas tanah sawah yang kering. Semua kerja merata sawah perlu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan atau sebelum tarikh air masuk ke sawah.

3. Pasukan merata tanah sawah hendaklah terdiri daripada traktor empat roda 60 hingga 70 HP dengan pacuan empat roda bersama back bucket, traktor empat roda 60 hingga 70 HP (pacuan dua atau empat roda) bersama rotory cultivator (medium duty) 70 hingga 80 inci dan traktor empat roda 60 hingga 70 HP (pacuan dua atau empat roda) bersama alat leveller.

Box leveller
Bucket leveller
Reversible land leveller

4. Selepas selesai kerja meratakan tanah menggunakan bucket, kerja merata dibuat menggunakan leveller bersama alat kelengkapan laser emmiter.

Traktor membawa leveller yang dipasang dengan laser transmitter untuk mendapatkan kerataan yang tepat

Laser transmitter yang dipasang pada leveller

5. Kerja merotor kedua menggunakan traktor dan rotor (medium duty) dijalankan bagi setiap lot sawah yang diratakan. Kedalaman pembajakan ialah 4 inci. Kontraktor boleh menggunakan kaedah membajak rotor atau kerja scrapping/plough bagi melonggar tanah di kawasan yang tinggi sahaja. Kerja-kerja merata tanah sawah dilaksanakan dengan cara memindahkan tanah dari kawasan yang tinggi ke kawasan yang rendah di dalam lot berkenaan. Tahap perbezaan paras tanah hendaklah ± 5 cm bagi setiap petak.


Jenis-jenis implemen untuk kerja merotor tanah

Sunday, March 6, 2011

Merata Sawah (bahagian 2)


Perataan tanah berskala besar

Perataan tanah secara besar-besar (major land levelling) melibatkan kerja-kerja merata menggunakan jentera dan perkakasan yang lengkap dan dilakukan secara berperingkat. Biasanya perataan secara berskala besar ini dilakukan untuk membuka kawasan baru bagi penanaman padi ataupun membuat penyatuan tanah-tanah sawah bagi mendapatkan tanah yang lebih rata dan sempurna. Kepakaran teknikal diperlukan untuk membuat perataan tanah berskala besar dan memerlukan penggunaan pelbagai jenis jentera berat. Gambar 2 menunjukkan perataan berskala besar menggunakan jentera berat.

Gambar 1 : Perataan tanah berskala besar menggunakan jentera berat

Perataan tanah berskala kecil

Jika dahulu perataan tanah secara berskala kecil dilakukan dengan bantuan haiwan ternakan, kini pesawah telah menggunakan jentera seperti traktor kecil dan sederhana atau mengupah operator jentera bagi meratakan tanah sawah di dalam lot sawah mereka sendiri. Biasanya selepas musim menuai, pesawah akan membuat penyediaan tanah sawah secara kecil (minor land levelling) untuk musim menanam berikutnya kerana keadaan tanah sawah yang tinggi rendah selepas musim menuai. Ketika penyediaan tanah, pesawah atau operator jentera itu akan mengalihkan tanah dari kawasan yang tinggi kepada kawasan yang rendah bagi membentuk permukaan tanah yang rata. Setelah beberapa tahun, keadaan tanah di dalam sawah akan menjadi stabil dan membantu memperbaiki pengairan dalam lot sawah. Kaedah perataan sebegini menjadi amalan di dalam penyediaan tanah bagi setiap musim penanaman padi dan tidak memerlukan kos tambahan kerana tidak melibatkan kerja-kerja perataan yang lebih besar (major land levelling). Gambar -gambar di bawah menunjukkan perataan tanah secara berskala kecil menggunakan traktor.

Gambar 2 : Perataan tanah berskala kecil menggunakan traktor dengan implement jenis bucket dalam keadaan kering

Gambar 3 : Perataan tanah berskala kecil menggunakan traktor bagi kerja menyisir, merotor dan merata dalam keadaan basah

Friday, March 4, 2011

Merata Sawah (bahagian 1)


Di dalam meningkatkan hasil padi, keadaan tanah sawah memainkan peranan yang sangat penting di dalam aktiviti penanaman padi. Tanah sawah yang baik adalah rata dan mempunyai lapisan tanah keras (hard pan) yang baik disamping mempunyai sistem pengairan dan saliran yang sempurna. Merata dan membentuk pemukaan tanah sangat penting kepada sistem permukaan sawah bagi menyokong sistem pengairan serta pertumbuhan pokok. Ia melibatkan proses bagi memastikan kedalaman air yang seragam di dalam lot sawah yang dapat membantu pengagihan air di dalam sawah lebih cekap dan seragam. Perataan tanah perlu dilakukan hampir setiap musim menanam kerana aktiviti penanaman padi yang intensif dilakukan sepanjang musim dan penggunaan jentera berat semasa menuai hasil mengubah permukaan tanah.

Terdapat dua pendekatan yang digunakan dalam merata sawah; (1) membuat cerun yang menyokong bekalan air; dan (2) merata tanah supaya menepati keadaan terbaik dengan peralihan tanah yang minimum dan kemudian mengikut paras bekalan air di dalam petak sawah tersebut. Pendekatan kedua lebih baik kerana lebih ekonomik. Merata sawah dapat memperbaiki serta meningkatkan kecekapan air dan tenaga kerja.

Kepentingan merata sawah
(i) Menguruskan air dengan baik dan cekap;
(ii) Memperbaiki struktur hard pan tanah;
(iii) Pertumbuhan pokok seragam;
(iv) Memudahkan kerja-kerja jentera;
(v) Memudahkan kerja-kerja pembajaan, meracun dan kawalan perosak.

Merata sawah melibatkan beberapa komponen kerja seperti membuat perataan secara major (major land levelling) dan perataan secara minor (minor land levelling), membina ban di antara petak sawah, membina parit ladang serta parit tengah dan memasang kotak kawalan air.

Operasi merata tanah walaubagaimanapun merupakan gangguan yang paling intensif kepada kaedah penanaman. Oleh itu, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum melakukan kerja-kerja perataan tanah. Perubahaan topografi yang besar akan mengurangkan pengeluaran sehinggalah kesuburan tanah pada kawasan tersebut dapat diganti semula. Tanah yang terlalu padat juga mengurangkan kadar resapan air menyebabkan kawasan berkenaan sentiasa ditenggelami air. Bagi sesetengah kawasan yang mempunyai tanah yang terlalu lembut atau tidak mempunyai saliran yang baik pula, jentera berat tidak dapat digunakan. Jadi, sistem saliran yang baik juga perlu diberi perhatian di dalam proses perataan tanah sawah.

Fasa kejuruteraan

Sebagai permulaan, kawasan yang hendak diratakan perlu dikaji dan keseluruhan strategi bagi pengairan dan saliran perlu dikaji. Setelah kajian dibuat, perataan secara skala kecil boleh dibuat.

Langkah pertama di dalam membuat perataan tanah ialah membuat plan bagi kawasan. Ia melibatkan kerja meletakkan grid rujukan pada kawasan berkenaan, membuat pemerhatian kepada topografi sedia ada dan membuat pengiraan untuk mendapatkan topografi baru dengan mengubah titik pada grid kawasan berkenaan mengikut plan. Setelah rangka plan permukaan tanah selesai dibuat, operasi membuat perataan dimulakan. Secara tipikalnya, ia melibatkan kerja-kerja mengubah dan mengalihkan tanah dan kesamaan pada perataan tanah ini bergantung kepada jentera serta alatan yang digunakan dan yang paling penting kemahiran operator jentera tersebut.

Pemerhatian dan pemetaan kawasan melibatkan penentuan sistem grid yang seragam dan pembentukan topografi kawasan. Bagi kawasan penanaman padi di KBLS, lot sawah boleh digunakan sebagai asas untuk pemerhatian ini. Bacaan untuk grid boleh diambil dari lokasi struktur bekalan air seperti palong konkrit bagi memudahkan kerja-kerja penentuan untuk merata tanah sawah dan juga pembinaan parit ladang.

Kecerunan yang sesuai juga perlu ditentukan mengikut keadaan kawasan dan sistem pengairannya. Alur saliran (drainage basin) perlu dibuat sama mengikut arah pada kawasan. Sempadan lot sawah tidak seharusnya mempunyai sebarang cerun–silang (cross–slope), namun bagi sesetengah kawasan, cerun–silang 2 hingga 3 peratus diperlukan bergantung kepada keadaan tanaman dan tanah.

Satu kaedah yang biasa digunakan ialah 'plane method' (kaedah perataan permukaan atau topologi) satu kaedah yang agak rasmi bagi mendapatkan paras ketinggian dan kecerunan yang sesuai untuk perataan tanah sawah.

Kaedah ini ialah regresi linear (linear regression) untuk mengukur permukaan yang rata pada satu garis lurus dalam dua dimensi (two-dimensional manifold). Perubahan akan dibuat pada bahagian tengah permukaan untuk menepati kadar boleh–ubah ‘potong dan isi’ (variable cut/fill ratios) – iaitu satu kaedah di dalam kejuruteraan dimana jumlah tanah yang dipotong (diambil) sama dengan jumlah tanah yang diperlukan bagi menambak dalam kawasan yang sama.

Thursday, March 3, 2011

Prinsip dan Praktik SRI


Dalam entri sebelum ini, Asas Utama Tanaman Padi SRI, ada diterangkan prinsip-prinsip asas bagi kaedah SRI. Entri ini akan menghuraikan 6 prinsip tersebut.

1. Bermula dengan benih muda untuk pemindahan. Pertumbuhan yang terbaik akan datang dari benih berusia 8-12 hari dan tidak lebih dari 15 hari. Ini akan mengekalkan potensi tanaman padi untuk pertumbuhan akar dan pucuk.

Umur fisiologi adalah lebih penting daripada umur kalendar, jadi secara teknikal adalah diyorkan anak benih diubah pada peringkat 2-3 daun, iaitu, sebelum permulaan daripada phyllochron 4. Peringkat daun ini boleh diguna pakai di semua iklim. Di kawasan-kawasan yang sejuk, umur benih muda "boleh menjadi 15-20 hari atau lebih. Apabila petani beralih kepada kaedah tabur terus untuk mengurangkan kos buruh, petani mempunyai pilihan untuk menggunakan prinsip SRI yang lain.Ini adalah selaras dengan prinsip SRI kedua: mengelakkan trauma kepada akar.

2. Mengelakkan trauma kepada akar: memindahkan dengan cepat, dalam masa 15-30 minit melalui penyingkiran secara lembut dari tapak semaian; ditanam cetek (1-2 cm) dan tidak merosakkan hujung akar (berbentuk L).

Dalam amalan konvensional, benih selalunya ditanam di dalam nurseri yang dibanjiri air di bawah keadaan hipoksia (kekurangan oksigen). Mereka dikeluarkan dengan cepat (pada usia kira-kira) 2-6 minggu, dengan trauma kepada akar. Mereka kemudiannya dipindahkan ke dalam persekitaran yang hipoksia (sawah yang dibanjiri air) dengan kedalaman 3-6 cm ke dalam tanah dengan hujung akar mereka membengkok ke atas (berbentuk J). Amalan ini menyumbang kepada kejutan pemindahan (7-14 hari) yang merencatkan pertumbuhan tumbuhan pada peringkat awal.
3. Memberi jarak optimum yang lebih luas: mengurangkan populasi tanaman secara radikal; 80-90%, dengan tumbuhan tunggal setiap titik dan penanaman berbentuk kotak, 25 hingga 30 cm sebagai jarak yang baik, tetapi berdasarkan kepada kualiti tanah, iaitu meletakkan tumbuhan dengan jarak yang lebih luas (bagi tanah yang subur) atau lebih dekat (bagi tanah yang kurang subur).

Bagi tanah yang kurang subur, hasil yang lebih tinggi (dalam jangka pendek) dengan kaedah SRI ialah dengan jarak yang agak dekat, contohnya, dengan jarak 20x20 cm. Dari masa ke masa, amalan SRI akan memperbaiki kesuburan tanah, jarak yang lebih luas akan menjadi lebih produktif (prinsip keenam). Terdapat pelbagai jarak tanaman bagi kaedah SRI, sehingga 50 cm dengan tanah yang sangat subur; 25 x 25 cm merupakan jarak yang paling produktif untuk permulaan.

4. Elakkan tanah dibanjiri secara berterusan: tanaman padi tidak dapat tumbuh dengan baik di dalam keadaan hipoksia. Tumbuh-tumbuhan (dan organisma tanah yang berkaitan) perlu diberi air sekadar yang mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka, bukannya sehingga banjir yang mengakibatkan tanaman "kelemasan".

Laulanie mengesyorkan penggunaan air yang minimum, aplikasi jumlah air yang sedikit setiap hari untuk sawah. Pengurusan air optimum amat bergantung kepada ciri-ciri tanah, jadi percubaan dengan masa dan jumlah air, dengan pemantauan rapi terhadap tindakbalas tumbuhan amat digalakkan terlebih dahulu.

5. Pengudaraan tanah dilakukan secara aktif, sebagai sebahagian daripada kawalan rumpai, menggunakan alat mekanikal pada peringkat awal penanaman dan kerap. Tanah yang tidak banjir memberikan pengudaraan pasif, yang perlu diperbaiki oleh pengudaraan tanah secara aktif melalui aktiviti melandak (mengawal rumpai disamping menggemburkan tanah).

Tanpa air yang banyak, rumpai tumbuh dengan lebih agresif. Merumput secara mekanikal hendaklah terlebih dahulu bermula 10-12 hari selepas diubah, dan yang berulang-ulang 1-4 kali pada sela masa 10-12 hari sehingga kanopi tanaman menutup tanah. Merumput menambah pengudaraan tanah, pertumbuhan akar, dan organisma tanah yang berfaedah, dan boleh meningkatkan hasil. Amalan ini dapat memulihara dan meningkatkan bekalan nutrien tanah.

6. Meningkatkan bahan organik tanah, seberapa banyak yang boleh, menurut prinsip: "Memberi makan tanah, dan tanah akan memberi makan kepada tumbuhan".

Menggunakan baja kimia bersama dengan prinsip-prinsip lain SRI akan meningkatkan hasil. Walau bagaimanapun, strategi yang paling produktif bagi meningkatkan hasil dalam jangka panjang ialah menambah bahan organik (kompos, baja atau buangan organik) sebanyak yang mungkin. Ini dapat membantu memperbaiki struktur tanah, menggalakkan populasi mikroorganisma yang berfaedah, menggembleng dan/atau mengitar semula nutrien melalui aktiviti organisma tanah.

Wednesday, March 2, 2011

Padi SRI - Asas Utama Tanaman Padi SRI


Sistem Keamatan/Intensifikasi Padi (System of Rice Intensification, SRI) bermula dengan satu falsafah dimana tumbuhan perlu diberi keadaan yang sesuai dan selesa untuk pertumbuhannya. Keadaan ini akan membolehkan tumbuhan tersebut mengeluarkan potensinya yang sebenar. Namun, apa yang berlaku hari ini ialah, kita telah menjadikan tumbuhan terutama sekali tanaman padi mengurangkan potensi semulajadinya. SRI diperkenalkan bagi mengubah kaedah penanaman padi tradisi bagi memberi ruang yang luas untuk tanaman padi memberikan pulangan hasil yang tinggi.

Hasil yang tinggi tidak mustahil melalui SRI. Apa yang perlu dilakukan oleh petani ialah penyediaan dan pengurusan tanah sawah, menanam anak padi yang muda, mengawal dan memantau paras air, kualiti tanah itu sendiri dan varieti padi yang ditanam sama ada sesuai atau tidak dengan kaedah ini.

Kaedah SRI tidak memerlukan sebarang input pertanian seperti baja dan racun yang dibeli oleh petani. Peningkatan hasil boleh menjadi lebih baik berbanding dengan tanaman padi yang bergantung kepada baja dan racun kimia kerana padi SRI mempunyai struktur yang berbeza dengan lebih banyak anak (tillers) dan sistem akar yang lebih besar untuk membantu penyerapan nutrien dari tanah.

Tanaman padi SRI juga mempunyai lebih banyak biji padi bagi setiap tangkai (panicle). Perkara ini tidak mustahil kerana kaedah SRI membantu tanaman padi menghasilkan lebih banyak anak berbanding kaedah konvensional.

Idea asas

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, SRI dapat membantu tanaman padi menunjukkan potensi sebenarnya. Walaubagaimanapun potensi ini telah terpendam kerana amalan penanaman padi konvensional yang digunapakai sejak turun temurun. Kaedah SRI menjadikan asas tanaman padi sebagai panduan dimana idea asal SRI ini digariskan.

  • Petani perlu terlebih dahulu memahami idea ini. Kemudian mereka perlu memilih dan menilai amalan tanaman sebelum ini yang akan memberi kebaikan kepada keadaan mereka. Setiap petani adalah saintis dan penyelidik.
  • SRI mengubah struktur tanaman padi – kepadatan dan bilangan anak dan akar – dengan mengubah amalan biasa yang digunakan bagi menguruskan tanah, air dan tanaman bagi menjadikan hasil yang lebih produktif.
  • Untuk tanaman padi menjadi lebih produktif, beberapa kriteria yang diperlukan ialah;
-  lebih banyak anak (tillers),
-  lebih banyak tangkai (panicles) yang keluar dari batang,
-  lebih banyak padi daripada tangkai, dan
-  padi yang lebih berat dan berisi

Jika tanaman padi dijarakkan dengan jarak yang optimum di atara satu sama lain, tanaman tersebut akan mempunyai lebih ruang untuk pertumbuhan. Tanaman akan memperolehi cahaya dan udara yang lebih untuk mengeluarkan batang dan pucuk. Lebih banyak batang yang subur, lebih banyak padi akan dihasilkan. Selain itu, ruang yang besar akan menggalakkan pertumbuhan akar yang lebih banyak dan kuat untuk menyerap lebih banyak nutrien dari tanah.

·    Walaupun agak mengejutkan, sebenarnya ada peluang untuk mendapatkan lebih hasil padi dengan menanam kurang pokok dan meletakkan mereka dalam jarak yang sesuai, supaya tanaman padi lebih sihat dan subur. "Kurang" boleh menjadi "lebih" kelihatan mustahil seperti kata pepatah Melayu "secupak tidak akan jadi segantang", tetapi melalui SRI perkara ini tidak mustahil.
·      Untuk tumbuhan hidup dengan subur di atas tanah, sistem akar yang sihat diperlukan di bawah tanah. SRI membantu tumbuhan mempunyai sistem akar yang besar di bawah tanah dan pertumbuhan batang (tillers) yang lebih banyak di atas tanah.
·       Menanam padi secara rapat dan padat membazirkan benih. Individu tanaman akan menjadi lebih kecil dan kurang produktif. Menanam anak benih yang matang/tua pula akan mengurangkan potensi.
·     Dengan teknik SRI, petani dapat melihat perubahan ketara dan dengan mudahnya memperolehi 50 batang (tillers) daripada satu anak pokok, dan ada juga petani yang menggunakan kaedah ini mendapat 100 batang dari satu anak pokok.
·      Petani berpeluang untuk mendapat sehingga 200 biji padi bagi setiap batang yang mengeluarkan tangkai. Ada juga petani yang mendapat sehingga 400 biji padi.

Ini menunjukkan SRI bukannya satu keajaiban. Apa yang dibuktikan oleh sistem ini ialah pengurusan tanaman, tanah dan air yang baik yang membolehkan tumbuhan hidup subur dan mengeluarkan potensinya untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi.

Bagaimana kita boleh mendapatkan tumbuhan untuk mengeluarkan akar yang lebih kuat?

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menanam hanya satu anak pokok di dalam satu lubang berbanding amalan menanam 3 hingga 4 anak pokok di dalam satu lubang. Apabila banyak anak pokok ditanam bersama dalam satu lubang, keadaan sama akan terjadi dengan tanaman padi yang ditanam rapat dan padat. Pokok-pokok berkenaan akan bersaing untuk air, cahaya dan nutrien.

Adalah amat penting di untuk menjarakkan tanaman bagi anak pokok, biasanya sekurang-kurangnya 25 cm daripada satu sama lain, dan disusun dalam bentuk kotak. Ini akan memudahkan kerja-kerja mengawal rumpai dan membenarkan cahaya matahari dan udara lebih bebas untuk sampai kepada tanaman. Dengan jarak tanaman yang diletakkan jauh, tanaman tidak akan bersaing di antara satu sama lain untuk air, cahaya dan nutrien. Akar tanaman akan lebih tumbuh dengan lebih besar dan kuat.

Dengan menjarakkan tanaman, lebih banyak benih dapat dijimatkan. Terdapat laporan yang menyatakan jarak 50 cm berpotensi menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi kerana membenarkan tanaman padi tumbuh lebih subur dan menghasilkan lebih banyak batang dan tangkai. 

Tuesday, March 1, 2011

Adakah kebuluran akan menjadi sesuatu yang normal?


Apabila harga makanan global menerjah naik pada tahun 2007-08, beratus juta orang telah menjadi lapar, melebihi jumlah lebih 1 bilion buat kali pertama dalam sejarah. Sekarang, hanya dua tahun kemudian, kita melihat satu lagi kenaikan harga makanan, dan kebuluran mungkin akan terjadi.

Bulan lepas, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menerbitkan indeks harga makanan global bagi bulan Januari 2011. Indeks harga berada pada paras yang tertinggi (kedua-duanya dari segi nominal dan sebenar) sejak FAO mula mengukur harga makanan pada tahun 1990. Rusuhan makanan telah pun bermula di Algeria. Sejarah telah berulang dan krisis global (berkaitan makanan utama) kedua dalam tempoh dua tahun terjadi, adalah penting untuk kita belajar daripada krisis yang pertama, dan menghalusi penyebab utama.

Keselamatan makanan bergantung kepada keadaan cuaca dan pasaran yang stabil serta boleh diramal, dan akses kepada sumber-semua - yang kini hilang keseimbangannya hanya dalam dalam tempoh beberapa dekad yang lalu. Sejak tahun 1970-an, aktiviti manusia menyebabkan perubahan iklim telah membawa peristiwa cuaca yang melampau di seluruh dunia dengan lebih kerap. Petani kini berhadapan dengan bencana banjir, kemarau atau serangan perosak utama setiap tahun. Pada tahun 2010 dan awal tahun ini, Australia, Argentina, China, Rusia dan Pakistan telah mengalami peristiwa-peristiwa cuaca yang melampau mengganggu pengeluaran pertanian mereka.

Sumber kedua ialah ketidakstabilan pasaran yang semakin huru-hara. Di atas nama perdagangan bebas, kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Bank Dunia telah menghabiskan masa tiga dekad yang lalu memaksa pasaran negara-negara membangun untuk membuka import yang murah, yang sekaligus menjejaskan pengeluaran makanan tempatan. Dalam ironi kejam, negara-negara miskin juga menerima tekanan untuk mengurangkan sokongan bagi sektor ladang mereka sendiri, dan terpaksa menjual rizab makanan kecemasan, di bawah rasional bahawa ia akan menjadi lebih cekap dengan hanya membeli makanan di pasaran antarabangsa. Menjelang 2006, lebih daripada dua pertiga daripada negara-negara termiskin di dunia bergantung kepada import makanan. Kemudian datang gelombang penyah-kawalseliaan kewangan (financial deregulation) di akhir dekad lalu, yang membangkitkan spekulator ke atas pasaran komoditi, dan mewujudkan dana indeks yang mengikat bersama harga pasaran komoditi untuk makanan, minyak dan logam yang sebelum ini tidak pernah terjadi. Manfaat, gabungan dan "instrumen inovatif" yang sepatutnya mengurangkan risiko dalam pasaran memberi kesan yang sebaliknya. Hasilnya pasaran makanan global menjadi "liar" dan tidak menentu, di mana faktor-faktor yang tidak berkaitan dengan bekalan dan permintaan sebenar menjadi "pemandu" harga.

Pukulan hebat iklim dan ketidakstabilan kewangan global tidak menyakiti semua orang. Turun naik (volatility) adalah baik untuk pemain terbesar dalam mana-mana pasaran. Banyak syarikat-syarikat perniagaan tani mengalami keuntungan mencecah rekod sekarang, seperti yang mereka capai ketika krisis makanan terakhir. Sesetengah negara Afrika tidak akan dilanda "bencana" kerana mereka berkeras untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan bukannya bergantung pada pasaran global. Tetapi bagi sebahagian besar yang lain, petani miskin bergelut dalam perubahan iklim dan bermusuhan (perang saudara). Tidak hairanlah kebuluran telah menjadi "perkara biasa yang baharu".

Jika kita menganggap kebuluran dunia sesuatu yang perlu diatasi, dan bukannya peluang pelaburan, kita perlu membuat beberapa perubahan besar. Hampir semua orang daripada Bank Dunia, PBB dan G-20 menyedari bahawa pelaburan amat diperlukan untuk menyokong petani kecil-kecilan, khususnya wanita, di negara-negara yang menghadapi kebuluran. Di peringkat global, 70 peratus makanan di dunia ditanam di ladang yang kurang daripada dua hektar dari segi saiz, sebahagian besarnya oleh wanita. Sokongan perlu bagi membantu petani menggunakan amalan mampan yang mengurangkan input yang mahal, hasil yang lebih tinggi dan meningkatkan pendapatan ladang. Pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan domestik perlu diberi keutamaan ke atas tanaman tunai (cash crop) untuk eksport.

Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Pembiayaan untuk membantu petani negara membangun dalam menyesuaikan diri dengan perubahan iklim tidaklah begitu mencukupi. Negara dan rantau yang bergelut dengan kelaparan memerlukan ruang dasar yang lebih besar untuk melindungi pengeluaran makanan domestik dan menstabilkan bekalan. Rizab makanan perlu dikaji semula sebagai alat utama untuk menangani kekurangan, serta menstabilkan bekalan makanan dan harga bagi petani dan pengguna. Kerajaan perlu serius dalam melaksanakan kaedah-kaedah untuk membendung spekulasi berlebihan.

Ketidakstabilan bekalan makanan global, yang berlaku dalam beberapa dekad ini, memerlukan reformasi secara total untuk mengatasinya. Tetapi ia tidak boleh berlaku jika kita gagal belajar dari masa lalu dan perlunya kita menyokong pendekatan baharu yang akan memberi lebih kestabilan dan daya tahan kepada pertanian, pasaran dan sistem makanan.

ShareThis