Tuesday, October 11, 2011

Teori pemilihan r/K bena perang


Teori pemilihan r/K - Dalam ekologi, teori pemilihan r/K berkaitan dengan pemilihan kombinasi ciri-ciri dalam organisma dengan trade-off (situasi dimana mengorbankan satu kualiti atau aspek untuk mendapat satu kualiti atau aspek yang lain). Tumpuan sama ada kepada meningkat kuantiti anak-anak dengan mengurangkan pelaburan individu ibu bapa, atau kuantiti anak-anak dikurangkan dengan meningkat pelaburan kepada individu ibu bapa, diubah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran tertentu.Teori ini popular di dalam tahun 1970-an dan 1980-an apabila ia telah digunakan sebagai peranti heuristik, tetapi kepentingannya lenyap dalam awal 1990, setelah dikritik oleh beberapa kajian empirikal. Paradigma pemilihan r/K diganti kepada paradigma "life history" (sejarah kehidupan). Walau bagaimanapun, paradigma sejarah kehidupan berterusan untuk menggabungkan banyak tema yang penting kepada paradigma pemilihan r/K. Istilah atau terminologi pemilihan r/K ini dicipta oleh ahli ekologi Robert MacArthur dan EO Wilson berdasarkan kerja mereka mengkaji biogeografi pulau.

Ahli ekologi telah lama terpesona dengan kepelbagaian strategi kehidupan organisma. MacArthur dan Wilson (1967) merupakan yang pertama menggunakan terma pemilihan r/K untuk membincangkan penyesuaian spesies yang berbeza di bawah persekitaran yang pendek dan jangka panjang. Pianka ((1970) menegaskan bahawa r dan K tidak mewakili dikotomi yang sebenar tetapi sekadar titik hujung spektrum dan menggunakan terma r - K kontinum. Di sepanjang kontinum ini, serangga dan tanaman tahunan lebih memilih r manakala haiwan vertebrata dan tanaman bermusim lebih memilih K. Southwood dan Comins (1976) menggunakan model sinoptik berkaitan strategi dan kestabilan habitat yang menunjukkan bahawa strategi r boleh berkembang menjadi perkadaran wabak apabila mereka melarikan diri daripada kawalan musuh semulajadi. Ilustrasi di bawah menunjukkan kepentingan "jurang musuh semulajadi" dalam perosak r, Southwood dan Comins (1976).


Bena perang sebagai serangga perosak utama tanaman padi mempunyai ciri pemilihan r/K yang sangat maju kerana sentiasa berada dalam tekanan ekosistem yang sentiasa berubah-ubah. Serangan mendadak yang sering terjadi merupakan kenaikan secara tiba-tiba populasi perosak, biasanya dikaitkan dengan perubahan dalam ekosistem yang dibawa oleh gangguan luar alam sekitar. Gangguan ini termasuk cuaca panas atau kering, suhu tinggi, kelembapan, banjir, dan semburan racun perosak. Gambar kanan : Kesan serangan seperti pokok padi "terbakar" atau dikenali sebagai "hopper burn".

Bena perang merupakan serangga yang paling maju dan cepat berevolusi untuk memberikan adaptasi dan kesinambungan hidup kepada perubahan keadaan yang ekstrim. Tekanan pemilihan menentukan strategi reproduksi pada bena perang. Bena perang boleh menggunakan strategi r;
  • matang dengan cepat dan mempunyai umur pembiakan pertama yang awal; 
  • mempunyai jangka hayat yang agak pendek; 
  • mempunyai banyak anak-anak pada bila-bila masa, dan beberapa kali pembiakan, atau semelparous;
  • mempunyai kadar kematian yang tinggi dan kadar survival anak-anak yang rendah; 
  • penjagaan ibu bapa yang minimum
atau strategi K;
  • matang lebih perlahan dan mempunyai umur pembiakan pertama yang lewat;
  • mempunyai jangka hayat yang lebih panjang; 
  • mempunyai beberapa anak-anak pada bila-bila masa dan tempoh pembiakan yang lebih panjang; 
  • mempunyai kadar kematian yang rendah dan kadar survival anak-anak yang tinggi; 
  • perlu penjagaan ibu bapa
Bena perang juga menunjukkan sifat semelparous, iaitu bereproduksi sebelum mati. Dalam kes penggunaan racun perosak, bena perang akan berusaha untuk mengeluarkan telur selepas terkena semburan. Pemilihan strategi r dibuat dalam keadaan tidak stabil (gangguan luar alam sekitar - seperti yang telah diterangkan sebelum ini), manakala strategi K dalam keadaan stabil. Perlakuan ekologi melalui pemilihan strategi ini menjadikan bena perang sebagai perosak utama yang sukar dikawal.

Dalam keadaan persekitaran yang sentiasa tertekan seperti di sawah pada hari ini, bena perang akan menjadi r-strategist, memberi kelebihan kepada spesis ini untuk meneruskan survival dengan berpindah dan mencari makanan di tempat baharu. Kadar pembiakan yang dipercepatkan juga menjadikan bena perang dapat membina kerintangan kepada racun perosak dengan pantas. Ini akan menjamin kelangsungan hidup bena perang sebagai perosak utama tanaman padi. Dengan memahami strategi reproduktif bena perang sebagai strategi untuk terus hidup, kita dapat mengambil langkah kawalan yang sepatutnya bagi mengatasi masalah wabak bena perang. Pemulihan ekosistem sawah untuk kawalan biologi merupakan pilihan terbaik. Topik ini telah dibincangkan sebelum ini - Kerintangan bena perang terhadap pestisid dan pemulihan ekosistem sawah untuk kawalan biologi

No comments:

Post a Comment

ShareThis