Tuesday, June 21, 2011

Padi SRI - ekologi dan biodiversiti serangga untuk kawalan biologi


Tanpa menggunakan sebarang input dalam bentuk racun kimia serangga dan kulat, mampukah padi yang ditanam menggunakan kaedah SRI bertahan dengan serangan penyakit dan perosak?

Pengalaman petani dan penyelidik SRI menunjukkan tanaman padi SRI tidak mudah diserang oleh serangga perosak dan penyakit. Ini kerana tanaman padi yang ditanam menggunakan kaedah SRI lebih sihat dan kuat menjadikannya lebih resistan terhadap serangan penyakit dan perosak. Tanpa menggunakan racun kimia, tanaman padi SRI memulih dan mengembalikan ekosistem mikro sawah padi semulajadi yang selama ini dirosakkan dengan penggunaan racun kimia yang berleluasa. Akibat daripada penggunaan racun kimia tanpa kawalan yang selama ini dipraktikkan oleh petani, banyak serangga predator yang berguna turut terhapus. Kesannya, populasi serangga perosak semakin bertambah dan kerintangan perosak terhadap racun kimia semakin membimbangkan. Penggunaan racun kimia mencemarkan alam sekitar disamping membahayakan kesihatan manusia. Konsep SRI mengubah perspektif dalam tanaman padi untuk biodiversiti serangga perosak dan musuh semulajadi menjadi seimbang seperti yang telah ditulis sebelum ini.

Sawah padi sebagai satu ekosistem pertanian pada asalnya mempunyai ekologikal kompleks tanpa persaingan. Selepas Revolusi Hijau, aktiviti pertanian lebih menumpukan kepada pengeluaran hasil tinggi tanpa menghiraukan kesan buruk akibat gangguan ekologi kepada ekosistem sawah padi. Aktiviti tanaman padi pada hari ini merupakan gangguan terbesar ekosistem semulajadi yang telah terbentuk sejak sekian lama.

Penggunaan racun makhluk perosak mewujudkan persaingan yang sangat besar kepada serangga perosak sehingga mereka boleh beradaptasi dan menyesuaikan diri kepada keadaan. Kesannya, populasi perosak minor meningkat dan menjadi perosak yang major manakala populasi serangga bermanfaat seperti predator dan parasitoid berkurangan. Di atas kesedaran ini, agroekosistem yang sepatutnya menampung kepelbagaian diversiti perlu dipulihara bagi menjamin keseimbangan ekologi dan kelestarian pertanian.

Di dalam menguruskan ekosistem yang seimbang, pendekatan secara kawalan biologi sering menjadi pilihan utama -- dengan menggunakan hubungan mangsa-pemangsa yang telah wujud secara semulajadi. Kebanyakan kaedah kawalan biologi memberi fokus kepada satu atau dua musuh semulajadi yang "premier" sebagai ejen untuk menekan populasi sesetengah perosak. Secara kontras, populasi ejen kawalan biologi semulajadi yang tinggi biasanya merupakan set kompleks bagi interaksi peringkat komuniti yang membawa kepada kestabilan sistem, secara interaksi bersemuka dengan perosak. Populasi perosak berjaya ditekan dan dikawal sehingga ke paras paling minimum tanpa menggunakan kaedah kawalan lain, dengan syarat gangguan ekosistem dielakkan atau diminimumkan.

Beberapa pengubahsuaian dibuat bagi memastikan populasi pemangsa sentiasa berada dalam keadaan yang menekan populasi serangga perosak. Ekosistem serangga semulajadi ini diberi nafas baru dengan melibatkan kejuruteraan ekologi dengan matlamat mengawal perosak. Kejuruteraan ekologi kini dilihat dalam perspektif yang lebih luas dengan lebih serius bagi mengembalikan ekosistem yang seimbang kepada tanaman padi. Kejuruteraan ekologi digunakan bagi membentuk ekosistem yang tidak sesuai untuk perosak -- salah satu caranya ialah menambah populasi serangga predator dan parasitoid.

Kaedah tanaman secara SRI menjadikan keseimbangan ekosistem padi sebagai salah satu tunjang utama dengan hanya menggalakkan penggunaan kaedah kawalan biologi dan kawalan perosak secara organik. Kaedah SRI menggalakkan pembiakan serangga predator dan parasitoid serta mengembalikan serangga-serangga bermanfaat ini kepada ekosistem sawah padi. Namun begitu, usaha ini perlu mengambil masa sehingga beberapa musim bagi memulihkan ekosistem yang telah dirosakkan oleh manusia sejak beberapa dekad lalu.

Selain itu juga, amalan pengurusan air yang tidak sempurna dalam kaedah konvensional yang melemahkan sistem ekologi perlu diperbaiki. Terdapat kajian menunjukkan keadaan sawah yang digenangi air terlalu lama melambatkan kehadiran serangga bermanfaat. Kehadiran serangga bermanfaat yang lewat tidak akan membantu dalam pengawalan populasi perosak terutama sekali pada keadaan populasi perosak mencapai kemuncak. Disamping itu juga, keadaan akar padi terendam air akan melemahkan tanaman dan menyebabkan tanaman tidak resistan kepada serangan penyakit dan perosak. Dengan hanya membiarkan tanah sekadar lembab dan pengudaraan diberikan sepanjang tempoh penanaman, diversiti biota tanah dapat ditingkatkan bagi membentuk semula ekosistem sawah. Meningkatkan kandungan organik tanah dapat membantu mengembangkan biodiversiti tanah dan menyuburkan tanaman.

Memulihkan agroekosistem secara kejuruteraan ekologi perlu dilaksanakan dengan mengubah struktur aktiviti penanaman yang telah dipraktikkan sejak sekian lama. Kaedah konvensional yang dilihat lebih merosakkan ekosistem perlu diubah bagi memulihkan dan memelihara aspek-aspek ekologi semulajadi yang penting bagi pertanian yang lestari. Menggalakkan pertanian secara organik dan menggunakan kaedah SRI memberi perspektif baru dalam kejuruteraan ekologi untuk memulihkan ekosistem pertanian dan seterusnya meningkatkan pengeluaran makanan yang selamat serta terjamin.

No comments:

Post a Comment

ShareThis