Tuesday, May 10, 2011

Padi SRI - menanam anak benih


Amalan tanaman padi secara kaedah konvensional -- menanam dengan rapat dan padat dipercayai oleh kita semua sebagai kaedah yang mampu meningkatkan hasil kerana penggunaan sumber tanah yang maksimum dengan jumlah anak benih sebanyak 200 hingga 400 pokok per meter persegi. Kaedah menanam secara tabur terus memerlukan benih sebanyak 160 hingga 200 kg sehektar. Terdapat bukti yang menunjukkan amalan ini berjaya meningkatkan hasil sehingga 6 hingga 10 tan per hektar, namun kaedah ini memerlukan sumber input benih, baja, racun dan air yang banyak. Kecekapan tanaman dan input tidak mencapai tahap terbaik kerana wujud pembaziran walaupun produktiviti tanah menunjukkan hasil yang tinggi. Kaedah menanam secara mencedung (transplanting) pula menggunakan input benih yang kurang (kira-kira 60 kg sehektar) dan memberi hasil yang setanding malah lebih baik berbanding kaedah tanaman secara tabur terus. Namun jumlah anak bagi setiap "point" diantara 3 hingga 8 menghadkan potensi tanaman padi untuk beranak dengan maksimum dan keadaan tanah yang sentiasa ditenggelami air memburukkan lagi keadaan. Anak padi hanya mampu beranak 3 hingga 10 sahaja bagi setiap benih menyebabkan petani menambah jumlah anak bagi setiap "point" dengan harapan jumlah hasil akan bertambah dengan jumlah anak yang banyak. Maka pembaziran benih turut berlaku dalam kaedah menanam secara mencedung.

Menambah jumlah benih bermakna menambah kos benih dan kos buruh. Amat malang sekali jika benih dibazirkan dengan amalan tanaman secara konvensional yang menggunakan benih dengan kadar yang sangat tinggi. Penanaman secara padat dan rapat menggalakkan insiden perosak seperti bena perang dan penyakit seperti karah, bintik perang dan hawar seludang. Selain itu, persaingan di antara tanaman padi untuk cahaya, nutrien dan air akan wujud disamping penanaman secara padat tidak akan menggalakkan akar pokok berkembang dengan baik. Ini akan mengakibatkan padi mudah tumbang akibat ribut dan tidak dapat bertahan sekiranya musim kemarau melanda. Kepadatan anak benih yang terlalu tinggi juga menyukarkan pengendalian ladang seperti meracun, membaja dan menakai padi angin.

Kaedah penanaman padi secara SRI membawa satu perspektif baru kepada kaedah tanaman padi. SRI yang agak berbeza dengan kaedah konvensional dilihat sedang bergerak melawan arus bagi mencapai matlamatnya. Penggunaan input yang sangat kurang dan menjimatkan merupakan salah satu teras asas konsep ini. Kaedah SRI ditanam dalam bentuk kotak dengan jarak yang sesuai, menggunakan satu anak benih bagi setiap "point" dan memerlukan pengairan yang sekadar "cukup makan" sahaja. Jumlah pelaburan petani dalam kos input dapat dijimatkan dan kaedah ini juga sesuai digunakan untuk kawasan yang mempunyai masalah bekalan air.

Perbandingan keperluan anak benih mengikut kaedah menanam

Kaedah tabur terus:
Keperluan benih : 160 - 200 kg/ha
Kepadatan benih : 200 - 400 benih/m2

Kaedah transplanting menggunakan mesin:
Keperluan benih : 60-80 kg/ha
Kepadatan benih : 50 - 150 benih/m2

Kaedah SRI:
Keperluan benih : 5 kg/ha
Kepadatan benih : 10 - 20 benih/m2







Perbandingan keperluan air mengikut kaedah menanam

Kaedah tabur terus :
Air dibekalkan sepanjang musim
Peringkat penapakan sehingga beranak - 5cm
Peringkat terbit tangkai - 10 cm
Peringkat pengisian - 5 cm
Peringkat padi menguning - 2.5 cm
Air dikeluarkan pada hari ke 90 - 95
Kaedah  transplanting :
sama seperti kaedah tabur terus
Kaedah SRI:
Tanah dibiarkan lembab selama 40 - 45 hari
Air dimasukkan setinggi 1 - 2 cm padi hari ke 45
Air dikeluarkan pada hari ke 85 - 90





Keperluan benih dan air yang jauh berbeza dengan kaedah konvensional (tabur terus dan transplanting) menunjukkan kaedah SRI ini dapat menjimatkan sumber input benih sehingga 90% dan input air sehingga 50%. Kaedah SRI yang menjimatkan sumber seperti benih dan air dapat membongkar potensi semulajadi sebenar tanaman padi dan memberi kecekapan optimum untuk pengeluaran hasil yang tinggi.

No comments:

Post a Comment

ShareThis