Sunday, April 3, 2011

Kesan penggunaan baja kimia dengan unsur nitrogen terhadap populasi bena perang


Secara teori dan praktikal, biodiversiti mempunyai peranan yang relevan di dalam masalah pertanian kotemporari yang membenarkan pembentukan kumpulan berfungsi bagi memandu proses utama ekosistem. Salah satu daripada proses penting agroekosistem ialah kitaran perosak, kerana biodiversiti sangat berkait rapat dengan kerintangan tumbuhan-perumah, kaedah pengawalan perosak, agen kawalan biologi semulajadi, dan impak serta kestabilan kepada asas ekologi dalam pengawalan perosak.

Penanaman padi yang semakin berkembang pesat telah membuka ruang kepada peningkatan hasil, tetapi pada masa yang sama memberi kerosakan kepada biodiversiti, dan hasilnya pertambahan populasi serangga perosak dan penyakit tanaman. Biodiversiti telah terbukti berkait rapat dengan insiden serangan perosak di dalam ekosistem tanaman padi dan terjejas teruk akibat penggunaan baja nitrogen yang berlebihan.

Bena perang, Nilaparvata lugens, sememangnya telah wujud sejak sekian lama sebagai perosak di dalam tanaman padi. Ketika 1970-an dengan bermulanya Revolusi Hijau, sistem tanaman dan amalan kultural menumpukan sepenuh perhatian kepada hasil yang tinggi dengan mengaplikasikan baja kimia untuk varieti padi dan menyebabkan bena perang berubah daripada perosak minor kepada perosak major. Malah penggunaan baja kimia terutama sekali nitrogen yang berlebihan mengakibatkan populasi Sogatella furcifera (bena belakang putih) dan Laodelphax striatellus (satu lagi jenis bena perang) turut bertambah.

Dr. K.L Heong seorang pakar entemologi dari IRRI telah membuat satu simulasi berkenaan dengan kaitan aplikasi baja berunsurkan nitrogen dengan peningkatan populasi bena perang. Simulasi ini dimuatkan dalam satu terbitan; Planthoppers: new threats to the sustainability of intensive rice production systems in Asia. Los BaƱos (Philippines): International Rice Research Institute bertajuk: Are planthopper problems caused by a breakdown in ecosystem services?


Satu lagi kajian yang dibuat di Filipina dan China menunjukkan perkaitan penggunaan baja kimia nitrogen ke atas populasi bena perang. Tiga kadar nitrogen digunakan dalam kajian tersbut, 0 kg/ha, 100 kg/ha dan 200 kg/ha. Penyelidik bersetuju penggunaan baja kimia nitrogen yang berlebihan mengakibatkan serangan dua jenis bena perang, N. lugens dan S. furcifera yang berleluasa seperti di dalam Graf 1 dan 2.

Graf 1: Insiden serangan bena perang N.lugens berdasarkan kadar N kg/ha

Graf 2: Insiden serangan bena perang S.furciferaberdasarkan kadar N kg/ha

Kajian juga mendapati populasi beberapa spesis predator/pemangsa bena perang merosot dengan penggunaan nitrogen yang berlebihan. Ini termasuklah populasi labah-labah Tetragnatha sp. dan Araneus sp. seperti yang ditunjukkan dalam Graf 3.
Graf 3 : Populasi dua jenis labah-labah pemangsa Tetragnatha sp. dan Araneus sp. berdasarkan kadar N kg/ha

Kajian juga menyimpulkan terdapat kemungkinan nitrogen memberi stimulasi yang kuat kepada bena perang. Bena perang merupakan penghisap tanaman dan penggunaan baja nitrogen yang berlebihan menyebabkan populasi bena perang bertambah akibat daripada sumber makanan (pokok padi) yang banyak. Kedapatan pucuk daun yang lembut akibat daripada penggunaan nitrogen yang berlebihan juga menyukarkan labah-labah bersarang.

Penggunaan baja kimia nitrogen yang berlebihan bukan sahaja akan menambah populasi perosak, malah menyebabkan kesan buruk kepada alam sekitar. Tumbuhan tidak akan mengambil kesemua unsur nitrogen yang diberi melalui baja kimia mengakibatkan lebihan baja kimia akan meresap jauh ke dalam tanah dan mencemari air bawah tanah. Selain itu, dalam keadaan sawah digenangi air, proses kitaran nitrogen akan menukar baja kimia nitrogen kepada nitrus oksida dan metana yang menyebabkan kesan rumah hijau kepada bumi.

Selain itu, masalah rumpai dan persaingan rumpai dan tumbuhan akan lebih kerap terjadi dan menyebabkan petani terpaksa mengeluarkan kos bagi meracun. Lebihan air sawah yang mengandungi baja kimia biasanya dibuang melalui parit akan mencemarkan sungai atau sumber air, membunuh kehidupan akuatik disamping menyuburkan rumpai di dalam sungai atau parit.

Sebagai kesimpulan, petani perlu memastikan keperluan sebenar baja nitrogen yang hendak digunakan. Penggunaan baja nitrogen dalam kadar 65 - 80 kg/ha didapati mencukupi bagi membekalkan nutrien dan mengurangkan kesan pencemaran. Penggunaan bersama baja organik lebih digalakkan bagi memperbaiki diversiti dan menambah populasi organisma dalam tanah yang penting bagi tanaman dan keseimbangan ekologi.

Kaedah-kaedah mengawal populasi bena perang yang boleh dipraktikkan oleh petani:
  • Mengawal rumpai yang menjadi perumah sekunder
  • Memotong dan memusnahkan jerami
  • Mengurangkan jumlah baja berunsur nitrogen
  • Menjarakkan tanaman supaya tidak terlalu padat

1 comment:

  1. Wow!that was a terrific explanations.I really love your article about this.It's so specified thoroughly.Nyway,thanx 4 da info.I'm looking forward 4 da next one..^_^

    ReplyDelete

ShareThis