Sunday, March 27, 2011

Biodiversiti dan perosak tanaman padi


Bagaimana petani hendak menghadapi perosak tanaman padi? Menyembur racun? Menggunakan varieti yang resistan? Atau bergantung kepada ekosistem kawalan biologi?

Menyembur racun merupakan pilihan utama petani, tetapi memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka dan alam sekitar. Ia juga menyebabkan serangan perosak menjadi lebih buruk kerana racun perosak juga membunuh musuh semulajadi seperti labah-labah. Ini menyebabkan petani terpaksa menyembur berulangkali dan akhirnya serangga perosak menjadi resistan kepada racun. Wabak serangan bena perang yang pernah berlaku di beberapa negara Asia sebelum ini merupakan kesan daripada penggunaan racun yang tinggi.

Menggunakan varieti yang resistan merupakan kaedah kawalan yang sering diperkatakan oleh penyelidik. Kedengaran seperti mudah dan kini terdapat pendekatan secara ubahsuaian genetik (GMO) untuk mencipta varieti yang resistan. Namun demikian, tidak semua orang bersetuju. Masalah berkaitan perosak tanaman padi ini ialah serangga perosak seperti bena perang hadir dalam jumlah yang besar dan bergantung sepenuhnya dengan padi di sepanjang rantaian hidup. Tekanan evolusi akan menyebabkan perubahan yang cepat kepada serangga untuk menyesuaikan diri bagi memecahkan kerintangan pada tanaman padi yang resistan itu.

Beberapa penyelidik berpendapat penggunaan varieti resistan ini hanyalah langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah yang telah terlalu lama membelenggu tanaman padi yang diakibatkan oleh penggunaan racun spektrum luas yang tinggi.

"Perosak akan berjaya ketika biodiversiti dalam keadaan berisiko, daripada menggunakan kejuruteraan genetik, mengapa kita tidak mengubah ekologi dengan meningkatkan biodiversiti?"

Kelebihan tanaman padi dalam iklim seperti di negara ini ialah kita tidak perlu untuk mengubah ekologi secara kompleks kerana ekologi tersebut telah wujud. Apa yang perlu dilakukan ialah menghindari racun jenis spektrum luas supaya parasitoid dan serangga berguna tidak terjejas.

Kawasan yang mempunyai sistem pengairan menyokong pelbagai kawalan biologi semulajadi yang bergantung kepada proses dan interaksi di dalam musim yang panjang di kalangan kepelbagaian spesis. Mengurangkan penggunaan racun perosak boleh membantu meningkatkan habitat heterogeniti.

Namun demikian, lebih mudah memperkatakan sesuatu daripada membuatnya. Walaupun terdapat pelbagai bukti jelas memperkasakan dan bergantung kepada servis ekosistem dilihat sebagai langkah yang betul, masyarakat petani masih tidak mahu untuk mengambil risiko jika tanaman mereka dirosakkan oleh serangga. Penyelesaian mudahnya ialah menyembur racun. Akibatnya, amalan konvensional menyembur racun akan berterusan dan wabak serangan serangga perosak juga akan meningkat.

Mustahil untuk memisahkan pertanian dan perosak. Namun begitu, jika kita lebih serius dengan kejuruteraan ekologi, kita boleh merubah ekologi supaya diversiti serangga berguna dapat ditingkatkan bagi langkah kawalan semulajadi yang lestari dan berkekalan.

No comments:

Post a Comment

ShareThis