Monday, February 14, 2011

Baja organik untuk padi: fakta dan mitos


Kita sering diberikan maklumat berkenaan dengan kebaikan membaja tanaman dan kesan buruk penggunaan baja kimia di dalam pertanian. Walaubagaimanapun, penyelidikan juga menunjukkan baja organik berkemungkinan bukanlah merupakan pilihan yang terbaik bagi penanaman padi.

Baja organik mampu menjadi pembekal nutrien penting bagi tumbuhan serta memperbaiki produktiviti tanah. Penggunaan baja kimia di dalam pertanian telah dipersalahkan kerana mengakibatkan kerosakan tanah, pencemaran sumber air dan alam sekitar. Disamping pencemaran sumber air termasuk air bawah tanah, sungai dan tasik, penggunaan baja kimia tanpa kawalan juga menyebabkan produktiviti tanah merosot.

Namun begitu, kerosakan dan pencemaran yang diakibatkan oleh penggunaan baja kimia bukan disebabkan oleh baja kimia itu sendiri, tetapi akibat daripada pembaziran dan penggunaan baja kimia tanpa kawalan. Kesan buruk baja kimia sebenarnya boleh dihalang atau diminimumkan dengan syarat penggunaan baja kimia perlu berdasarkan keperluan tanaman dan kapasiti tanah untuk menyimpan dan membekal nutrien yang penting.

Walaupun baja organik mempunyai banyak kebaikan, terdapat beberapa karakteristik baja organik yang menunjukkan bahawa baja organik bukanlah satu pilihan yang terbaik untuk tanaman padi.

Bahan organik selepas proses pereputan yang digunakan dalam jumlah yang besar boleh mengakibatkan pencemaran air bawah tanah.

Kandungan nitrat yang tinggi di dalam air bawah tanah telah dilaporkan di beberapa buah negara maju dimana aktiviti ternakan dijalankan dengan populasi haiwan yang tinggi di kawasan yang terhad. Kecuali di dalam keadaan stabil (hasil daripada proses pereputan), baja organik yang digunakan dalam keadaan oksigen berada pada paras minimum (seperti di dalam sawah padi yang dipenuhi air) berkemungkinan menghasilkan toksin yang merbahaya pada tanaman.

Tanaman tidak dapat menggunakan secara terus nutrien yang berada dalam bahan organik.

Kompaun organik yang mengandungi nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuhan perlu terlebih dahulu melalui proses mineralisasi untuk digunakan. Sebagai contoh, tumbuhan tidak dapat menyerap N organik. N organik perlu diubah kepada bentuk ammonium nitrat (NH4-N atau NO3-N) sebelum ia tersedia untuk diserap oleh tumbuhan.

Amaun nutrien yang penting di dalam bahan organik termasuk baja organik komersil adalah rendah

Untuk membekal nutrien yang cukup untuk penghasilan tinggi, jumlah baja organik yang banyak diperlukan. Adalah amat sukar bagi sebarang bahan organik mempunyai lebih daripada 3 peratus kandungan nitrogen. Jika kandungan N bagi baja organik melebihi 3 peratus, biasanya baja organik tersebut telah diperkaya dengan tambahan baja N tak organik.

Bahan organik didakwa penting bagi memperbaiki sifat fizikal tanah seperti kapasiti pegangan air, struktur aggreget tanah, dan kapasiti pegangan nutrien. Tetapi ini mungkin benar bagi keadaan tanah yang berada dalam keadaan aerobik di mana tanaman ditanam di tanah yang kering.

Dalam iklim tropika yang lembab seperti di negara ini, ia memerlukan aplikasi bahan organik yang berterusan dengan kadar yang tinggi untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan tanah. Ini kerana dalam iklim tropika, penguraian bahan organik terlalu aktif, jadi bahan organik di dalam tanah sangat minima.

Bahan organik dalam tanah tidak akan meningkat secara signifikan (satu peratus atau lebih) dalam tempoh satu atau dua tahun aplikasi baja organik.

Bahan organik memainkan peranan penting di dalam membentuk struktur aggreget tanah, tetapi parameter tersebut tidak boleh dicapai di dalam tempoh masa yang singkat terutama sekali di kawasan penanaman padi yang mana aktiviti menanam dijalankan dalam keadaan basah.

Baja organik bukanlah faktor tunggal bagi meningkatkan kualiti produk makanan, seperti meningkatkan kandungan anti oksidan.

Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan aplikasi pertanian organik bukanlah sebab utama peningkatan kandungan bahan anti oksidan di dalam buah/sayur (dalam kajian ini, bahan anti oksidan yang dikaji ialah polifenol). Kandungan polifenol yang tinggi juga didapati dari tanaman yang dibaja dengan baja tidak organik, asalkan tiada racun digunakan.

Walaupun demikian, tidak dinafikan bahan organik memberi banyak kebaikan di dalam pengeluaran tanaman. Petani masih digalakkan untuk menggunakan bahan organik seperti tinja haiwan dan bahan buangan tanaman. Kombinasi yang sesuai dan berpatutan di antara baja kimia dan baja organik merupakan pilihan yang baik bagi petani.

Rumusan dan Cadangan

Walaupun wujud percanggahan fakta berkenaan baja organik, bahan organik di dalam tanah mempunyai peranan yang penting di dalam meningkatkan kecekapan penggunaan dan penyerapan nutrien dari baja kimia.

Strategi yang boleh digunakan bagi memastikan kejayaan meningkatkan dan mengekalkan produktiviti tanah ialah dengan menggunakan bahan buangan ladang (buangan dari tanaman dan tinja haiwan) - yang organik - sebagai kombinasi dengan baja kimia, sebagai tambahan kepada mikro nutrien yang sedikit. Ini kerana, apabila baja organik dan baja kimia digunakan bersama-sama, peluang yang lebih besar akan wujud bagi meningkatkan hasil tanaman dan memperbaiki produktiviti tanah.

Amat penting bagi petani mengembalikan bahan buangan ladang seperti tinja haiwan dan bahan buangan tanaman kepada tanah daripada terus bergantung kepada baja organik komersil. Selain itu, baja organik juga sangat digalakkan untuk diaplikasi dalam tempoh penyediaan tanah sawah; ketika mana sawah padi berada dalam keadaan tidak digenangi air.

No comments:

Post a Comment

ShareThis